YANG BAKAL TERBIT

November 26, 2010 at 12:14 am (Uncategorized)

“Putih, merah dan merah jambu. apa maknanya?” tuturnya sekadar menguji simbolik 3 warna itu.
“Putih, warna yang suci, merah warna yang berani dan hangat. Merah jambu yang penuh kelembutan. 3 kombinasi warna yang selalu menyemarakkan perasaan cinta,” jawab Ean.
“Warna cinta kau?” duga Sufi Khalisa.
“Warna untuk pasangan yang sedang bahagia,” jawab Ean selamba.
Sufi Khalisa mengangguk dan memahaminya.
“Kau sedang bersedih?” duga Ean.
Sufi Khalisa hanya menggeleng. Ean hanya tersenyum hambar.
“Kau tak boleh bohongi aku, Sufi. Nah, untuk orang yang sedang bersedih,” Ean mengambil 2 kuntum mawar yang dihadiahkan sebentar tadi. Hanya tinggal sekuntum di tangannya.
“Kenapa untuk aku mawar putih?” soal Sufi Khalisa kaget seketika.
“Kau akan mengotorkan kesuciannya dengan air mata kesedihan kau sedangkan pengorbanan cinta yang kau lakukan demi orang yang disayangi hadiahnya adalah sebuah senyuman. Jadi, mawar putih untuk kau.Semoga kau dapat mensucikan pengorbanan kau dengan senyuman dan hati yang ikhlas,” bisik Ean di telinganya.
Sufi Khalisa menangis lagi.
“Menangislah Sufi. aku ada di sisi kau,” bisik Ean perlahan.
“Aku menangis kerana gembira, Esn.”
“Aku tahu…”
“akhirnya aku berjumpa dengan kau yang begitu memahami aku. Aku tahu kepada siapa aku harus jatuh cinta,” katanya dalam bening mata yang basah.
“Kepada siapa kau harus jatuh cinta?” soal Ean sekadar menduga.
“Aku seharusnya jatuh cinta kepada kau,” tuturnya jujur.

Petikan itu hanya sebahagian daripada novel terbaru saya yang akan terbit dengan syarikat fajar yang kini masih lagi dalam proses editing. Ceritanya mengisahkan 2 beradik yang telah jatuh cinta kepada seorang lelaki berbangsa Indonesia tetapi dilahirkan di Malaysia bermata coklat bernama Indra. Demi kerana hubungan darah yang terlalu erat, salah seorang daripada mereka mengalah. Tetapi pengunduran korban cinta itu masih belum dapat memuaskan hati salah seorang daripada mereka walaupun yang berkorban telah menemui cinta baru yang amat mencintai dan menyayangi. kelukaan demi kelukaan dialami oleh salah seorang dari mereka hanya kerana seorang lelaki. Dapatkah 2 kasih bertaut rasa dan mungkinkah yang keruh akan kembali jernih? Atau cinta yang terlalu mencintai itu terkorban dalam mempertahankan cinta yang suci…

Permalink 7 Comments

MERPATI OH MERPATI!

April 4, 2010 at 1:42 pm (Uncategorized)

Saya selalu memerhatikan seorang lpakcik tua yang berada di pasar besar Kuantan. Setiap petang pakcik itu akan memberi sekumpulan merpati makan di jalanan. Sekumpulan merpati berbeza warna akan segera jinak di kaki pakcik itu setiap kali ditaburkan makanan. Peristiwa itu meujudkan satu fenomena yang amat menarik sekali di mata saya. Rasanya tak perlu ke London untuk mengambil gambar sekumpulan merpati yang jinak di jalanan kerana setiap hari saya melihat suasananya. Di mata saya, fenomena itu adalah satu hiburan kepada saya dalam cuaca panas terik dan melayan rengek dan ragam anak kecil saya, Sarah Nur Farhana.

Suatu hari, ketika enak pakcik itu menaburkan makanan untuk merpati-merpatinya, sebuah van yang dipandu oleh juga seorang lelaki tua yang saya kenali bernama Ah Leong telah melanggar seekor merpati. Merpati tidak dapat lagi dapat terbang kerana sayapnya patah dilanggar secara tidak sengaja oleh Ah Leong. Pakcik itu beriya-iya mengejar merpati untuk menyelamatkannya tetapi kudrat pakcik itu tidaklah seberapa. Dia gagal menyelamatkan merpati itu kerana burung jinak itu melarikan diri menyorok di bawha kereta. Tetapi perbuatan pakcik itu menarik minta orang ramai. Lantas orang ramai berkerumun untuk menyelamatkan seekor merpati.

Akhirnya merpati itu diselamatkan oleh seorang lelaki yang agak muda. Pada hemat saya, mungkin lelaki muda itu akan merawat burung merpati yang telah patah sayapnya itu. saya turut merasa lega sebagaimana pakcik itu merasa lega kerana sudah ada orang lain yang akan merawat merpati patah sayap itu.

Peristiwa itu sebenarnya telah memberikan saya  jiwa kerana begitu tersentuh melihat kesungguhan seorang pakcik tua yang begitu risaukan akan seekor merpati yang patah sayapnya. Fenomena itu memberi tanggapan bahawa kasih sayang dan cinta itu bukanlah hak milik total manusia sahaja. Selagi sesuatu itu benyawa, kita berhak menyayangi dan melindunginya. Dan air mata saya kerap mengalir dan hati mengutuk sekeras-kerasnya apabila telinga ini mendengar kisah pembuangan bayi yang amat kejam!

Saya tidak mahu bercerita tentang pembuangan bayi kerana tidak sanggup untuk membicarakannya. Nantilah, kelak saya akan siarkan gambar pakcik tua dengan merpati-merpatinya dilain masa. Diharapkan kisah seorang pakcik tua dan merpatinya dapat memberi anda sedikit hiburan sambil memikirkan makna di sebalik kisah itu. Selagi manusia hidup berlandaskan kasih sayang, perang tak mungkin akan terjadi dan pembuangan bayi tidak akan menjadi tajuk akhbar dan berita. Oleh itu, hiduplah di atas dasar berperasaan, bukan berlandaskan nafsu. Sayonara…

Permalink Leave a Comment

PUISI – HALAMAN BONDA

February 8, 2010 at 9:34 pm (Uncategorized)

Halaman bonda berwangi kemboja,
Semerbak harum jatuh di atas tanah tercinta,
Alamnya sunyi bertemankan cengkerik rimba,
Suaranya merdu memuji-muji pencipta kami semua,
Halaman bonda berwajah sunyi dan tenang,
Kerana tanahnya disirami ayat-ayat suci kalimah Allah,
Suaraku merdu mengalunkan bait puisi indah,
Moga bonda tenang di sana,
Halaman bonda aku tinggalkan,
Airmata jurus laju di pipi,
Kerana halaman bonda akan aku tinggalkan,
Dengan kenangan sewaktu aku bergelar anak.

HALAMAN BONDA adalah salah satu puisi yang diterbitkan dalam ANTOLOGI PUISI PENULIS PAHANG yang diterbitkan pada tahun 2008. Tujuan utama penerbitan buku ini adalah sebagai bukti kukuh dan menyakinkan bahawa DPMP (Dewan Persuratan Melayu Pahang) masih utuh dan bertenaga. Sebuah lagi puisi saya yang turut dimuatkan dalam buku tersebut bertajuk 50 TAHUN MERDEKA.

Saya bukanlah seorang penulis yang pandai menulis puisi kerana bagi saya puisi adalah 1 ungkapan atau bait kata yang ringkas, mudah dalam menyampaikan maksudnya tetapi amat indah dan puitis.  Sedangkan saya tidak punya 2 ciri tersebut iaitu menulis dalam bait kata yang ringkas, mudah tetapi dalam masa yang sama amat indah dan puitis. Ini mungkin juga kerana saya sudah terbiasa menulis dalam ayat yang panjang berjela untuk menyampaikan maksud walau hanya 1 jalan cerita. Tetapi bagi saya yang agak kurang ilmu dalam bidang penulisan puisi, kira okaylah. Hahaha…

Namun begitu, demi kelancaran penerbitan ANTOLOGI PUISI PENULIS PAHANG,  saya gagahkan juga menulis 2 buah puisi yang ringkas. Setelah diterbitkan buku tersebut, saya tersenyum sendiri. Kenapa? Kerana saya berpendapat puisi saya terlalu pendek dan ringkas berbanding puisi penulis lain. Dalam erti kata lain, puisi kontot. Walaupun begitu, masih ada yang sudi memuji puisi saya iaitu anak-anak “beruang” saya. Kata mereka, sedap emak menulis puisi walaupun itulah kali pertama mereka tahu apa itu puisi. Perkara itu juga membuatkan saya tersenyum seorang diri. Mereka adalah anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih dan kita sebagai ibu bapa bagi mereka adalah idola yang terbaik.

Kepada penggemar puisi, nikmatilah puisi ini seadanya. Walaupun ringkas tetapi diharapkan agar dapat memberi sedikit hiburan untuk anda semua. Sayonara…

Permalink Leave a Comment

50 TAHUN MERDEKA

February 7, 2010 at 10:06 pm (Uncategorized)

5o tahun merdeka,
Melayu satu nama bermaruah,
Satu nama yang jitu,
Permulaan yang membuka hijab,
Arus kemodenan dan kemajuan,
Tetapi anak bangsaku,
Begitu tegar meruntuhkannya,
Membiarkan diri dipengaruhi,
Nafsu bermata merah menghisap darah,
Menggadai nyawa demi keseronokan dicabar,
Bukalah mata wahai anak-anak bangsa,
Usiamu masih rapuh,
Tingkatkan diri jadilah manusia,
Moga keturunan kita semua,
Semulia dan seagung,
Pemimpin agama dan bangsa.

Permalink Leave a Comment

KISAH 10 BUAH DELIMA

December 14, 2009 at 11:00 pm (Uncategorized)

DARI Ka’bul Ahbaar, dia berkata: Suatu hari, Fatimah r.a jatuh sakit. Ketika Ali pulang ke rumah Fatimah, dia bertanya,” Hai Fatimah, apa keinginan hatimu pada kelazatan dunia ini?

Fatimah menjawab,”Hai Ali, aku menginginkan sebiji delima.”

Ali merenung sessat kerana dia tidak memiliki apa pun. Kemudian berdirilah dia dan pergi ke pasar. Dia berhutang satu dirham kepada seseorang dan dibelikannya sebiji delima. Tetapi di tengah jalan, dia melihat seseorang yang sedang sakit terbaring di tengah jalan. Berhentilah Ali seraya bertanya padanya,”Apa keinginan hatimu hai hamba Allah?”

Orang itu berkata:”Hai Ali, aku sudah lima hari di sini dan aku adalah orang terbuang. Orang ramai melintasiku dan tidak seorang pun yang mahu memerhatikan aku. Hatiku menginginkan sebiji delima.

Mendengar itu, Ali merenung sesaat, lalu dia berkata di dalam hati,”Aku hanya membeli sebiji delima untuk Fatimah. Jika aku harus memberikannya kepada orang ini, Fatimah tidak akan mendapat apa-apa. Tetapi jika aku tidak memberikannya bererti aku menentang firman Allah SWT, ertinya: “Dan ada pun terhadap orang yang meminta-minta, maka janganlah engkau membentak.”         (Ad-Dhuhaa: 10)

Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w juga bersabda: “Janganlah kamu menolak orang yang meminta-minta walaupun dia berada di atas kuda.”

Maka Ali dengan segera membelah buah delima itu dan memberikannya kepada orang yang sedang sakit itu. Tetapi Ali merasa malu dan sedih untuk berjumpa Fatimah kerana tidak berjaya memenuhi keinginan isterinya. Fatimah yang melihat kedatangan suaminya dengan muka yang sedih terus berkata, ” Mengapa engkau nampak bersedih hati? Demi keagungan Allah, sesungguhnya ketika engkau memberi makan buah delima pada orang tua itu, hilanglah keinginanku untuk makan buah delima.

Mendengar itu, Ali amat gembira dan bersyukur. Tiba-tiba datang seorang lelaki mengetuk pintu. Ternyata dia adalah Salman Al- Farisi, yang datang membawa sebuah hidangan. Hidangan yang tertutup dengan kain itu segera dibukanya. Ternyata di dalamnya terdapat sembilan biji buah delima. Ali berkata, “Untuk siapakah buah delima ini?”

Jawab Salman, ” Ini adalah rezeki dari Allah untuk tuan.”

Ali segera berkata, “Wahai Salman, jika benar ini untukku, tentu sepuluh, bukan sembilan. Sebab Allah SWT ada berfirman: “Barangsiapa yang datang dengan membawa kebaikan, maka baginya sepuluh kali ganda balasannya.”

Mata tertawalah Salman, lalu dia mengeluarkan sebiji buah delima dari dalam poketnya seraya berkata, “Hai Ali, demi Allah, buah delima itu memang sepuluh. Tetapi aku ingin mengujimu dengan hal itu. 

 

Permalink Leave a Comment

AJARKAN AKU SETIA CINTA

November 15, 2009 at 11:02 am (Uncategorized)

AASC adalah novel terbaru saya selepas Potret Wajah Kekasih. Kali ini saya memilih Fajar Pakeer sebagai penerbit. AASC sebuah kisah ringkas dan santai tetapi di samping itu saya selitkan beberapa unsur pengajaran di dalamnya. Kemungkinan AASC akan muncul di pasaran akhir November nanti.

AASC mengisahkan tentang kesetiaan, kecurangan, cinta dan beberapa unsur isu semasa yang seringkali hangat diperkatakan setiap masa iaitu berhutang sehinggakan memaksa kerajaan campur tangan dalam menangani isu tersebut.  Demi kepuasan diri, manusia sanggup meletakkan nyawanya di hujung jari peminjam wang tidak berlesen, Along. Natijahnya tetap sama, nyawa jadi taruhan walau apa jua alasan pinjaman dilakukan. Along diringkaskan sebagai seorang yang mesra sewaktu memberi pinjaman dan menjadi seorang yang kejam apabila peminjam tidak membayar kembali pinjaman wang tersebut.

AASC juga mengenai kesetiaan dan kejujuran. Kesetiaan dan kejujuran jika diadunkan dengan keikhlasan pasti akan diraikan dengan satu perhubungan yang suci. Walaupun AASC bukankan kisah cinta terhebat tetapi cukuplah saya memaknakan istilah cinta itu dengan cara saya tersendiri. Bagi saya cinta itu bukan satu ungkapan I Love You atau saya sayang awak tetapi cinta bagi saya adalah satu perbuatan. Bagaimana pula pendapat anda?

Kehilangan orang tersayang selepas dikecewakan dengan teruk, satu pengalaman yang cukup menyakitkan setelah semua kepercayaan dan kejujuran dihulurkan dengan penuh keikhlasan. Dan apabila kita kehilangannya, barulah kita akan meraung kesakitan kerana ditinggalkan. Kemudian barulah kita merasa yang sebenarnya kita begitu mencintainya. Bak kata pepatah Melayu, sudah terhantuk barulah nak terngadah.  Begitulah ringkasan novel terbaru saya.

Semoga AASC dapat memenuhi citarasa anda semua. Kepada pembaca setia novel saya, terima kasih daun keladi saya ucapkan. Semoga kita bertemu di lain hari di dalam ringkasan cerita yang berbeza pula. Sayonara…

Permalink 4 Comments

Salam Perkenalan

October 24, 2009 at 6:17 am (Uncategorized)

Salam perkenalan kepada semua. Hampir 6 tahun saya dalam bidang penulisan dan sering bertukar penerbit demi kepuasan diri sendiri. Pelbagaai karena dan cerita terjadi dalam pasang surut ekonomi seperti kehidupan kita ibarat roda. Yang terbaru saya akan bekerjasama dengan penerbit fajar. Novel sulung saya di Fajar akan diterbitkan tidak lama lagi sekitar bulan Disember yang tentunya masih dalam perbincangan editor. Kisahnya ringkas dan mudah difahami. Sesuai dengan kegawatan ekonomi yang memeningkan kepada dan sering membuatkan kepala berpusing-pusing dan otak jadi bingung. Novel ringan ini umpama kudapan yang enak dimakan, berlemak dan bergula tetapi tidak membahayakan kesihatan. Sajian ringkas ini diharapkan dapat melegakan minda asalkan sahaja tidak terbawa-bawa ke dalam mimpi. Watak Serra dan Faryan sememangnya amat mudah difahami dan ringkas. Mereka berdua adalah tunggak utama dalam novel saya. Ada adegan melucukan, mengusik hati dan pengajaran tentang bahaya berhutang. Ia juga tentang kehilangan dan menghargai seseorang sebelum kita kehilangannya.

Sebelum menantikan kemunculan novel saya yang masih belum bertajuk, laplah air mata apabila membaca POTRET WAJAH KEKASIH.

Permalink 1 Comment