PUISI – HALAMAN BONDA
Halaman bonda berwangi kemboja, Semerbak harum jatuh di atas tanah tercinta, Alamnya sunyi bertemankan cengkerik rimba, Suaranya merdu memuji-muji pencipta kami semua, Halaman bonda berwajah sunyi dan tenang, Kerana tanahnya disirami ayat-ayat suci kalimah Allah, Suaraku merdu mengalunkan bait puisi indah, Moga bonda tenang di sana, Halaman bonda aku tinggalkan, Airmata jurus laju di pipi, Kerana halaman bonda akan aku tinggalkan, Dengan kenangan sewaktu aku bergelar anak.HALAMAN BONDA adalah salah satu puisi yang diterbitkan dalam ANTOLOGI PUISI PENULIS PAHANG yang diterbitkan pada tahun 2008. Tujuan utama penerbitan buku ini adalah sebagai bukti kukuh dan menyakinkan bahawa DPMP (Dewan Persuratan Melayu Pahang) masih utuh dan bertenaga. Sebuah lagi puisi saya yang turut dimuatkan dalam buku tersebut bertajuk 50 TAHUN MERDEKA.
Saya bukanlah seorang penulis yang pandai menulis puisi kerana bagi saya puisi adalah 1 ungkapan atau bait kata yang ringkas, mudah dalam menyampaikan maksudnya tetapi amat indah dan puitis. Sedangkan saya tidak punya 2 ciri tersebut iaitu menulis dalam bait kata yang ringkas, mudah tetapi dalam masa yang sama amat indah dan puitis. Ini mungkin juga kerana saya sudah terbiasa menulis dalam ayat yang panjang berjela untuk menyampaikan maksud walau hanya 1 jalan cerita. Tetapi bagi saya yang agak kurang ilmu dalam bidang penulisan puisi, kira okaylah. Hahaha…
Namun begitu, demi kelancaran penerbitan ANTOLOGI PUISI PENULIS PAHANG, saya gagahkan juga menulis 2 buah puisi yang ringkas. Setelah diterbitkan buku tersebut, saya tersenyum sendiri. Kenapa? Kerana saya berpendapat puisi saya terlalu pendek dan ringkas berbanding puisi penulis lain. Dalam erti kata lain, puisi kontot. Walaupun begitu, masih ada yang sudi memuji puisi saya iaitu anak-anak “beruang” saya. Kata mereka, sedap emak menulis puisi walaupun itulah kali pertama mereka tahu apa itu puisi. Perkara itu juga membuatkan saya tersenyum seorang diri. Mereka adalah anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih dan kita sebagai ibu bapa bagi mereka adalah idola yang terbaik.
Kepada penggemar puisi, nikmatilah puisi ini seadanya. Walaupun ringkas tetapi diharapkan agar dapat memberi sedikit hiburan untuk anda semua. Sayonara…












