YANG BAKAL TERBIT
“Putih, merah dan merah jambu. apa maknanya?” tuturnya sekadar menguji simbolik 3 warna itu.
“Putih, warna yang suci, merah warna yang berani dan hangat. Merah jambu yang penuh kelembutan. 3 kombinasi warna yang selalu menyemarakkan perasaan cinta,” jawab Ean.
“Warna cinta kau?” duga Sufi Khalisa.
“Warna untuk pasangan yang sedang bahagia,” jawab Ean selamba.
Sufi Khalisa mengangguk dan memahaminya.
“Kau sedang bersedih?” duga Ean.
Sufi Khalisa hanya menggeleng. Ean hanya tersenyum hambar.
“Kau tak boleh bohongi aku, Sufi. Nah, untuk orang yang sedang bersedih,” Ean mengambil 2 kuntum mawar yang dihadiahkan sebentar tadi. Hanya tinggal sekuntum di tangannya.
“Kenapa untuk aku mawar putih?” soal Sufi Khalisa kaget seketika.
“Kau akan mengotorkan kesuciannya dengan air mata kesedihan kau sedangkan pengorbanan cinta yang kau lakukan demi orang yang disayangi hadiahnya adalah sebuah senyuman. Jadi, mawar putih untuk kau.Semoga kau dapat mensucikan pengorbanan kau dengan senyuman dan hati yang ikhlas,” bisik Ean di telinganya.
Sufi Khalisa menangis lagi.
“Menangislah Sufi. aku ada di sisi kau,” bisik Ean perlahan.
“Aku menangis kerana gembira, Esn.”
“Aku tahu…”
“akhirnya aku berjumpa dengan kau yang begitu memahami aku. Aku tahu kepada siapa aku harus jatuh cinta,” katanya dalam bening mata yang basah.
“Kepada siapa kau harus jatuh cinta?” soal Ean sekadar menduga.
“Aku seharusnya jatuh cinta kepada kau,” tuturnya jujur.
Petikan itu hanya sebahagian daripada novel terbaru saya yang akan terbit dengan syarikat fajar yang kini masih lagi dalam proses editing. Ceritanya mengisahkan 2 beradik yang telah jatuh cinta kepada seorang lelaki berbangsa Indonesia tetapi dilahirkan di Malaysia bermata coklat bernama Indra. Demi kerana hubungan darah yang terlalu erat, salah seorang daripada mereka mengalah. Tetapi pengunduran korban cinta itu masih belum dapat memuaskan hati salah seorang daripada mereka walaupun yang berkorban telah menemui cinta baru yang amat mencintai dan menyayangi. kelukaan demi kelukaan dialami oleh salah seorang dari mereka hanya kerana seorang lelaki. Dapatkah 2 kasih bertaut rasa dan mungkinkah yang keruh akan kembali jernih? Atau cinta yang terlalu mencintai itu terkorban dalam mempertahankan cinta yang suci…












